Memaparkan catatan dengan label PUISI. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label PUISI. Papar semua catatan

Khamis, 13 Disember 2018

Puisi: Langit Pasti Kembali Membiru


LANGIT PASTI KEMBALI MEMBIRU

meskipun mendung bertandang
singgah di jendela sepertiga malam
dan mengaburi saujana pandang
di sepanjang susur kelam

kau percayalah pada dirimu bahawa
langit pasti akan kembali membiru

biarlah unggas berlagu senyap
meratap di celahan rimbunan gelap
tatkala sayapnya dipaku duri
cuma malam hingga terbit matahari

kau percayalah pada dirimu bahawa
langit pasti akan kembali membiru

percayalah,
hidup ini bagaikan langit terbentang
dan seketika pandangannya terhalang
tompokan awan hitam dan guruh api
takkan pernah merubah jika kau tahu
langit pasti akan kembali membiru

kau percayalah pada dirimu bahawa
langit pasti akan kembali membiru

Sufian Mohamed Salleh
22 November 2018 / 5:42 p.m.

Sabtu, 10 November 2018

Puisi: Sekalung Kenangan


SEKALUNG KENANGAN

Angin itu membawa berita
Tentang perkhabaran yang hilang
Tentang derita
Tentang kehilangan dia tak pulang

Aku dah lama tahu
Airmatanya yang tempias di bahu
Dibawa bersama cinta mutakhir
Hingga hujung dunia terakhir
Di mana namanya terukir

Pergi dia
Pergi yang tiada tercari
Apakan lagi mahu kembali
Mana mungkin di sini

Lalu aku biarkan
Sekalung budi
Segunung kenangan
Abadi
Dalam senyuman

Sufian Mohamed Salleh
31 Oktober 2018

Selasa, 16 Oktober 2018

Puisi: Seorang Sahabat Telah Pergi


SEORANG SAHABAT TELAH PERGI

Seorang sahabat telah pergi
mengundur diri
membawa hati
dan kehidupannya sekali

Seorang sahabat telah pergi
tinggalkan sepucuk surat
yang ditulis segala kenangan
dan pesanan pada perjuangan
dan harapan pada kemenangan
dan kesempurnaan
dan pengertian

Seorang sahabat telah pergi
ditandanya tugu peringatan
tentang sebuah pengorbanan
lambang sebuah perjalanan
penat yang tak diendahkan
lelah langsung tak dirisaukan
hanya cinta menguatkan

Seorang sahabat telah pergi
tiada lagi di hujung mata
yang ada jiwanya
yang bernyawa di dalam kita

Seorang sahabat telah pergi
terima kasih Amir Fadli

Sufian Mohamed Salleh
3 Oktober 2018


Nota:
Puisi ini ditulis untuk seorang sahabat yang telah kembali ke rahmatulah, Amir Fadli bin Mohamad Zulkafli (15 Februari 1977 – 3 September 2018). Al-Fatihah.

Khamis, 23 Ogos 2018

Puisi: Lalu Sayu Sepasang Matamu


LALU SAYU SEPASANG MATAMU

Aku memerhatikan gelisah
Pada setiap langkah
Dan basah wajahnya berpeluh resah

Hai orang tua
Yang menahan bubu
Di sebatang sungai lama
Tidakkah kau melihat ikan
Yang melompat keluar dari lopak air
Dari sungai yang tak lagi mengalir

Lalu sayu sepasang matamu
Yang tua dimamah usia
Yang mengerut kuyu dan kuning layu
Menjeling kerdil-kerdil anaknya
Yang menangis kelaparan
Dahagakan kesenangan

Mereka tewas
Mereka tertindas
Dihukum dosa margakota buas

Sufian Mohamed Salleh
22 Ogos 2018, 10:40mlm

*foto sekadar hiasan

Sabtu, 24 Mac 2018

Puisi: Puisi Yang Tersembunyi


PUISI YANG TERSEMBUNYI

aku melihat pantai
dan mencari makna lautan
dari deburan ombak
serta desiran angin
aku juga melihat langit
menyelongkar pengertian
kebiruan yang menaungi
rimba rimbunan hijau

mungkinkah aku keliru
risik alam dan bisikannya
selama aku berteka-teki
menyusun aksara yang hilang
di baris ayat-ayat pincang

puisi yang tersembunyi
adalah kata-kata hati
yang sering bersoal-jawab
dalam diri sendiri

Sufian Mohamed Salleh
21 Mac 2018
sempena Hari Puisi Sedunia

*Foto: Pantai Kelanang / 18.03.2018

Jumaat, 23 Mac 2018

Puisi: Musafir di Titian Usang


MUSAFIR DI TITIAN USANG

Aku sekadar musafir di muka bumi
Yang menyusuri titian usang
Satu perjalanan mencari cinta abadi

Pada panas yang terik
Aku mendongak ke langit
Dan merasai sakit perit
Tikaman duri di telapak kaki

Pada hujan yang lebat
Aku berteduh di rumah-Mu
Dan memohon payung
Berlindung dari basah gelisah

Tuhan!
Berikan aku sebatang tongkat
Untuk aku terus berdiri
Dan juga setitis susu
Untuk aku melangkah lagi
Membongkar rahsia kesempurnaan-Mu

Aku hanyalah musafir di titian terpinggir
Pada satu kedudukan yang bisa saja tergelincir
Laluan usang dan kian getir
Menerokai cinta abadi yang terakhir

Sufian Mohamed Salleh
9 Mac 2018 // 3:05 a.m.

Rabu, 7 Mac 2018

Puisi: Mac Yang Tiba

MAC YANG TIBA

Ketibaan Mac ini
adalah hari-hari meresahkan
pabila menoleh kembali
waktu-waktu yang berlalu
dan melihat dekat
tuanya aku dimamah waktu

Ketibaan Mac ini
adalah bimbang yang bertubi
menghitung sisa bekalan
juga saki-baki perbatuan
sedang mata merenung
raut-raut wajah kenangan

Mac yang tiba ini
adalah selangkah menjauh
menghampiri destini.

Sufian Mohamed Salleh
03/03/2018 // 3:40 a.m.


Rabu, 28 Februari 2018

Puisi: Seorang Tua & Pengharapan


SEORANG TUA & PENGHARAPAN

suatu hari yang gelap
seorang tua
bersendirian di bawah lampu malap
di hujung jalan, penghujung perjalanan

raut wajahnya berkerut kenangan
dan di tangannya diari ingatan
suka-duka kehidupan

ditampar pipi kedutnya
lalu menepis-nepis gigitan
kisah kesakitan yang tak terubat

kuyu matanya digenangi pengharapan
manakala dadanya berdegup rindu
memanggil kepulangan

dia merenung jari-jemarinya
yang meruncing dan ketar
menggigil kesejukan

pada suatu malam yang dingin
seorang tua
menunggu si anak bawakan selimut
agar nyenyak, tidur yang panjang.

Sufian Mohamed Salleh
28/02/2018 3:45 a.m.

Jumaat, 23 Februari 2018

Puisi: Duhai Malam


DUHAI MALAM

Malam kian membungkam
Kelam di bawah gerimis beku
Membawa bersamanya hari-hari semalam

Memori yang berlabuh
Di kepulauan mimpi terdiam sepi
Mengheret kembara ke danau sepekat hitam

Duhai malam
Rasa ini bagai tersekat di satu garis
Simfoni yang bisu
Bicara yang buta
Dan bencana gempita
Menghempas nestapa di dinding jiwa

Malam berlalu jauh
Dibendung gerhana kesamaran
Bulan separuh mati
Yang ada cuma tanda soal;
Apakah suria akan tiba mengusung gembira
Atau masih terpenjara dipasung gelora
Melarat, terkorban, tanpa pembelaan.

Sufian Mohamed Salleh
22 Februari 2018, 2:34 a.m.


Deskripsi: Puisi ini sebenarnya merujuk kepada situasi politik tanahair yang begitu kotor, dicemari fitnah, pecah amanah, saling menuduh serta berdendam. Mangsa keadaan adalah rakyat warga marhaen. Hentikan sistem pembodohan!

Rabu, 21 Februari 2018

Puisi: Sebuah Buku Bernama Rindu


SEBUAH BUKU BERNAMA RINDU

Dahulu
Di satu masa yang lalu
Kita pernah berada di situ
Bersama
Mendaki ke puncak menara
Mencari dan membina
Erti dan realiti kehidupan

Hari ini
Semuanya telah lama berlalu
Dan kita tidak lagi di situ
Yang ada cuma namamu
Yang aku tulis di dalam buku
Sebuah buku bernama rindu

(Puisi Untuk Intan)

Sufian Mohamed Salleh
14 Februari 2018

Nota: Sajak ringkas ini aku tulis tatkala terkenangkan sesuatu yang aku lalui sewaktu di UPM Serdang, 1991-1994

Rabu, 14 Februari 2018

Puisi: Sebuah Sajak Untuk Mak


SEBUAH SAJAK UNTUK MAK

Mak
aku lihat airmatamu
di setiap senyum
di setiap perilakumu
tatkala anak-anakmu ini
pulang dan kenyang
dengan butir nasi serta lauk-pauk
masakan istimewa hidanganmu

Maafkan aku Mak
kalau aku selalu saja terlupa
mengucapkan terima kasih atas
nikmat dan lazat makanan sediaanmu
zat dan khasiat dari tanganmu
yang tak pernah mengeluh penat
mendewasakan anak-anakmu ini

Mak
aku tahu resah gelisahmu
untuk melihat bahagia
yang lahir dari perit kandunganmu
dan aku tahu Mak
di hatimu seringkali bertanya
apakah kasih ini akan terus subur
apabila hujan berhenti
dan tanah menjadi kontang

Jangan bimbang Mak
lautan waima cakerawala
takkan pernah terbanding
dengan haruman cinta
yang malar mewangi di antara
setiap satu doa darimu
dan kesemua doa-doa untukmu

Mak
Mak adalah Maharani Cinta
di ruang hati di pelusuk jiwa
di segenap kehidupan anak-anakmu
kasih yang mutlak dan abadi
lestari hingga firdausi nanti

Sufian Mohamed Salleh
14 Februari 2018

Isnin, 12 Februari 2018

Puisi: Benarkah?


BENARKAH?

Benarkah?
embun merintih berkabus sepi
di balik ungu si kembang pagi
gersang dan menghilang pergi
berlalu singkat dari peduli

Lenyap sudah
semua mimpi-mimpi indah
yang terulit sepanjang malam tadi
menjadi debu dan duri

Benarkah?
kabur langit berselimut galau
dibiar matahari tersembunyi malu
redup hingga penghujung petang
tiada rasa, tiada cinta
hanyalah lupa maksud sang udara

Langkah kita
seperti jerat yang tidak terlihat
jerangkap samar di luar sedar
menanti di setiap pijak kaki
yang mati, yang tanpa hati

Lalu acap bertandatanya;
Benarkah?

Sufian Mohamed Salleh
7 Disember 2016

Rabu, 7 Februari 2018

Puisi: Payung Teduh Yang Tertuduh


PAYUNG TEDUH YANG TERTUDUH

Sekaki payung telah musnah
dihumban di kaki jalanan yang tak pernah
dipedulikan kepedulian

Payung itu diterajang parah
dan tidak lagi dikenang sejarah

Basah ia dalam lebat hujan
tidak lagi ia memayung kehidupan
bahkan sendirian kekuyupan
tanpa sebarang perhatian

Kemanusiaan sememangnya begitu
sekadar memandang tanpa melihat

Maka terpinggir dan terbiar
payung teduh yang tertuduh
dakwa-dakwi musim luruh
keringlah sudah sebuah jasa
geringlah segala budi baktinya

Sufian Mohamed Salleh
7 Februari 2018

Sabtu, 28 Oktober 2017

Puisi: Kau Fikir Kau Siapa?


KAU FIKIR KAU SIAPA?

Siakap senohong
Gelama ikan duri
Bohong!
Terang-terang engkau mencuri

Kau fikir kau siapa?
Kau dewa, kaulah perwira
Semuanya kau sapu
Hakku jadi hartamu

Kau fikir kau siapa?
Kau pembohong!
Lihat pada kaki di mana kau berdiri
Mengelat atas kaki-kaki berdikari

Lesap!
Senyap dan akhirnya lenyap
Mulut-mulut yang kau suap
Dengan biadap dan sampah sarap

Lalu lupus
Nurani dibunuh dan terhapus
Insani juga telah pupus
Di antara engkau-engkau yang rakus

Kau fikir kau siapa?
Menjadi tuhan kepada Tuhan.

Sufian Mohamed Salleh
6:45ptg // 27 Oktober 2017

Isnin, 23 Oktober 2017

Puisi: Daerah Melankolia


DAERAH MELANKOLIA

Entah mengapa lautan terdampar mati
Bayu hilang tak bersapaan sebagaimana biasa
Deru juga sebegitu sunyi ––tiada bunyi

Entah di mana ombak-ombak terlantar
Mungkin bersembunyi jauh di dasar
Tinggal pasir-pasir menunggu di pantai
Meratapi buih-buih rindu pecah di persisiran

Cengkerang dan batu karang
Yang dulunya kalung-kalungan terindah
Kering menjadi batu-batuan teritip
Terbiar tak dikutip, bahkan berkecai
Tajam serpihnya melukakan rasa
Suram, muram dan semakin kelam
Dibawa pergi suria terbenam

Entah mengapa salju turun di dadaku
Dan segenap penjuru adalah hawa dingin beku
Di daerah melankolia tanpa sempadan
Aku bersandar sendiri ––dibelenggu sepi

Di daerah melankolia ini
Atlantik hanya mampu diam membisu
melihat Sahara yang tertimbus salji
di situ aku
––turut berkabung bersamanya

Sufian Mohamed Salleh
3:13pg // 20 Oktober 2017

Khamis, 19 Oktober 2017

Puisi: Keadilan Yang Dipijak-pijak


KEADILAN YANG DIPIJAK-PIJAK

untuk siapa keadilan ini
dipijak-pijak di bawah kaki
mati, tiada penghuni

tumit kaki yang berdaki
hitam legam dan membusuk
menusuk duri-duri mimpi
menghancur sekelumit harapan
dirantai tanpa seutas tali
mati, melopong dan benci

mereka berbaris
dalam kibaran panji demokrasi
saksama yang ditipu-daya

Sufian Mohamed Salleh
6 September 2017

Puisi: Dia Ada Berkata


DIA ADA BERKATA

dia pernah berkata
hidup ini sebuah perlumbaan
jangan pernah mengalah pada kegagalan

dia juga pernah berkata
hidup ini adalah pencarian
jangan pernah bersembunyi dari kehilangan

dan pada satu ketika dia juga ada berkata
hidup ini perjalanan
di sini cuma sebuah permulaan

(Terima kasih Abah)

Sufian Mohamed Salleh
14 September 2017

Selasa, 3 Oktober 2017

Puisi: Jangan Biarkan Mentari Sepi


Jangan Biarkan Mentari Sepi

aku hilang butir-butir bintang aksara
untuk ku ukir cakerawala puisi
hingga aku lena tanpa rambulan untukmu
hingga kau berduka lara
betapa malam semalam gelita

yang dicari seakan bersembunyi
kegelapan jalan-jalan itu tak terjejaki
sia-sia cengkerik berlagu
sia-sia pungguk merindu
lorong bisu
ruang-ruang kosong
dalam aku mencari aku
yang terbuai nyenyak dan dengkur
di mana mimpi-mimpi beradu di sisi
di mana igau-igau menari

pada hari-hari ini
jangan lagi dibiarkan mentari sepi
aku perlu segera bangun dan buka mata
cermin diri dan cuci muka
rawat cedera dunia dengan cinta
ubatkan luka dalam cita untuk ke sana
Bangkit!

Sufian Mohamed Salleh
21 Mac 2017
sempena Hari Puisi Sedunia

Khamis, 25 Mei 2017

Puisi: Sebatang Pena Menari


Sebatang Pena Menari

sebatang pena menari
di pentas kehidupan
bernama kertas seputih salji

iramanya laguan jiwa
nyanyian cinta mahupun dusta
koreografi tinta hitam dan biru
tarian aksara saling bertemu
kadang merah datang bertamu
selainnya sekadar merindu
mungkin malu
atau memang tidak dialu

sebatang pena menari
terhenti dan terbaring sepi
mati pada setitik noktah.

Sufian Mohamed Salleh
25 Mei 2017

Khamis, 27 April 2017

Puisi: Bangkit Dari Lena


BANGKIT DARI LENA

Begitu jauh perjalanan mimpi
mengelilingi pelusuk bumi
sehinggakan ketemu kembali
titik mula yang masih sepi

Kembara itu sebenarnya sia-sia
di antara bongkah tajam
dan sebatang laluan mati
di luar sedar
hari sudah cair dibakar mentari

Kejutkan sisa malam
hidup yang terlepas semalam
Katakanlah!
pada esok lusa yang menanti
tentang bangkit dari lena
bersihkan diri dan cari realiti

Sufian Mohamed Salleh
23 April 2017
Kuala Pilah, N.Sembilan