Memaparkan catatan dengan label SENIKATA. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label SENIKATA. Papar semua catatan

Selasa, 13 Februari 2018

Senikata: Hilang Berganti


HILANG BERGANTI

Keindahan bersamamu semakin lenyap
Cahaya pelita cintamu kian malap
Semakin hari semakin jauh berlari

Perpisahan titik henti segala kasih
Diriku bukanlah kekasih yang kau pilih
Dirimu pergi diriku sepi sendiri

Tapi sepi hati ini hanya sementara
Tiba-tiba terpancar cahaya
Segalanya menjadi segar semula
Bunga-bunga semekar kembang pagi

Seri mewangi di taman hati
Indah berseri bak pelangi
Ku mensyukuri kurnia Ilahi
Tiada bandingan di hati

Kehilangan telah ada pengganti diri
Usahlah dirimu kembali mengganggui
Usah diburu usah diganggu diriku

Cintamu patah
Tumbuh hilangnya berganti...

Senilagu / Muzik / Vokal: Johan Majid
Senikata: Yans (Sufian Mohamed Salleh)

Deskripsi:
Ciptaan asal muzik dan lirik lagu ini menurut sejarahnya ditulis sekitar era 80-an, tidak begitu diingati tahun yang tepat. Apa yang masih dalam ingatan, ketika itu saya dan sepupu saya (Johan) masih lagi di bangku sekolah menengah, sama-sama memanjat pokok jambu, melepak dan berborak di waktu petang dan saling berkongsi minat mencipta lagu dan menulis lirik. Johan yang kini merupakan seorang guru bahasa Jepun baru-baru ini pada awal tahun 2018 telah memperdengarkan kepada saya lagu nostalgik ini, lagu ciptaan lama yang telah dilengkapkan dan diperkemaskan. “Hilang Berganti” ini adalah memori zaman kanak-kanak / awal remaja yang kami (saudara sepupu) kongsi bersama dan ia akan terus kekal menjadi nostalgia sepanjang hayat kami. Sebenarnya ada banyak lagi lagu dan lirik yang kami hasilkan waktu itu, cuma (buat masa ini) hanya ini yang menjadi kenyataan. Semoga kalian terhibur dengan “Hilang Berganti” ini, sebuah lagu yang membawa kembali keindahan dan kenangan irama pop 1980-an. Terimalah seadanya...
– Nota oleh Sufian Mohamed Salleh 

Rabu, 20 Julai 2016

Senikata/Puisi: Bertemu Dalam Mimpi


BERTEMU DALAM MIMPI

Lambaian pepohon dihembus sang bayu
Seakan menyapaku sedang dalam kerinduan
Menghitung harapan kenangan akan berulang
Biarpun aku tahu ia takkan lagi datang

Dedaun masa layu kering berguguran
Luruh bersama waktu pergi dan terus berlalu
Tinggalkan semua ranting cinta dan bunga syurga
Lamunanku terhenti tika mata mula berkaca

Hilang... aku kehilangan
Aku kejar bayanganmu kau tiada
Aku cari senyumanmu
Aku damba pelukanmu
Aku rindu...

Tuhan... lindungilah dia
Tiap kata dan kasihnya selalu ada
Bawa aku bertemunya
Walau hanya dalam mimpi
Dalam mimpi...

Atan, 5 Syawal 1437H
Kg. Air Merah, Mersing

Nota: Dalam kesempatan pulang ke desa sempena Aidilfitri, aku menulis sebuah lagu ringkas dan puisi di atas adalah senikatanya. Kebetulan, ia bersamaan 10 Julai 2016, lima bulan pemergian abah (pada 2 Februari 2016). Puisi ini dedikasi buat yang aku rindui, arwah abah. Atan adalah nama panggilanku dalam keluarga dan di kampung.

Sabtu, 2 Julai 2016

Senikata: Murung II


MURUNG II

Duduk terdiam malam yang sunyi
Airmata mengalir membasahi pipi
Hati terbungkam tak siapa mengerti
Jiwa terkekang terikat sepi
Sungguh tak adil kehidupan ini
Dengan bebanan ku melangkah pergi
Aku... melangkah pergi..

Mereka mampu gembira bahagia
Mengapa diriku tak seperti mereka
Meratapi apa yang ada di hadapan mata
Suara hati ini tak pernah berhenti merana
Mengapa tiada terjadi pada mereka
Mengapa hanya jiwa ini yang menderita
Aku... merana derita..

Lelah sudah nafas ini
Apalah erti hidup ini
Pabila hanya lara hati
Diri ini digenggam emosi

Fikiran ini penuh keluhan iri
Amat sulit menjalani hidup ini
Lebih baik aku melangkah pergi
Lebih baik dijemput mati...
Ohhh... mati.

Sufian Mohamed Salleh
22 September 2014

Nota: Puisi ini sebenarnya adalah sebuah senikata yang aku tulis untuk sebuah kumpulan muzik Depressive Black Metal iaitu SIAL.

Senikata: Persemadian


PERSEMADIAN

HIDUPAN INI TIADALAH BERKEKALAN
DUNIA SEMENTARA...
TIBALAH HARI DINAMAKAN KEMATIAN
JIWA BERPISAH NYAWA...

TAK INGIN AKU MATI DI KALA INI
TANPA BEKALAN DIRI...
KU MAHU HIDUP SERIBU TAHUN LAGI
BOLEHKAH MENAFI MATI?...

"...terimalah hakikat, bahawa hayatmu
telahpun tiba di garis penamatnya
amal makruf nahi munkar sandaranmu
kepada tanah ini engkau dikembalikan!
semoga damai engkau di sana.."

SUNYINYA SEPINYA DI RUANG LIANG INI
LAHAD MENGHIMPIT DI RUSUK KANAN DAN KIRI
TIADA CAHAYA MAMPU DICARI MENYULUH DIRI
DITINGGALKAN AKU SENDIRIAN DI SINI...

MANA HIDUPKU, INI MATIKU...
SEDARLAH INI PERSEMADIANKU!

SEGALA BENARKU SALAHKU DIPERSOALKAN
WANGIAN BUNGA DI PUSARA HANYA HIASAN
TANGISKU MENGIRA AMAL HANYA SEJENGKAL JARI
MENGAPA DULU HAYATKU DALAM RUGI...

MANA HIDUPKU, INI MATIKU...
SEDARLAH INI PERSEMADIANKU!

BERSEMADILAH AKU DI SANA..
MENANTI SATU PANGGILAN SEBUAH PERHITUNGAN

Sufian Mohamed Salleh
2 September 2014

Nota: Puisi ini sebenarnya adalah sebuah senikata yang aku tulis untuk sebuah kumpulan muzik Depressive Black Metal iaitu SIAL.

Jumaat, 1 Julai 2016

Senikata/Puisi: Bangkit!


BANGKIT!

Demokrasi cuma retorik
Totaliter kukubesi
Birokrasi hanya hipokrit
Diktatoris autokrasi

Kaya raya makin menggila
Perkasa mabuk berkuasa
Sampai bila lihat sahaja?
Marhaen perlu bersuara!

BANGKIT!
satu hati. solidariti.
BANGKIT!
satu kata. perjuangan.
BANGKIT!
satu misi. imansipasi.
BANGKIT!
satu cita. kebebasan!.

Sufian Mohamed Salleh
24/06/2016 1:00am

Nota: Maksud penulisan ini asalnya atas hasrat menyumbangkan sebuah lirik lagu untuk kumpulan metalpunk TARANTULAH akan tetapi bila aku lihat dan baca semula berulangkali senikata ini, aku merasakan ianya semacam "merapu" dan segan pula hendak dikemukakan kepada band tersebut kerana mereka lebih baik dalam menulis senikata lagu-lagu mereka sendiri. Langsung, penulisan berjudul BANGKIT! bersempena nama zine hardcore punk yang sedang aku bikin ketika ini akhirnya berdiri sebagai sebuah puisi.