BEBAS
aku mahu bebas dari penjara kotor ini
yang dalamnya takungan najis angkuh
serta busuk sombong hurungan lalat
hitam pekat langsung tiada cahaya
ditutup rapat menghadangi suria
gelap dan membutakan
aku mahu segera keluar!
bangkit menjulang panji-panji juang
meski menongkah arus di cerun curam
biar jatuh, tetap bangun dan terus lawan
menentang dalang dan petualang
meroboh tembok berdinding songsang
bebaskan aku!
aku mahu hidup ini bebas dari kurungan
aku mahu suara ini bebas untuk berlagu
aku mahu langkah ini bebas berlari pantas
di atas batas-batas, di padang nan luas
Sufian Mohamed Salleh
26 Oktober 2016
Tiada ulasan:
Catat Ulasan