Rabu, 28 Februari 2018

Puisi: Seorang Tua & Pengharapan


SEORANG TUA & PENGHARAPAN

suatu hari yang gelap
seorang tua
bersendirian di bawah lampu malap
di hujung jalan, penghujung perjalanan

raut wajahnya berkerut kenangan
dan di tangannya diari ingatan
suka-duka kehidupan

ditampar pipi kedutnya
lalu menepis-nepis gigitan
kisah kesakitan yang tak terubat

kuyu matanya digenangi pengharapan
manakala dadanya berdegup rindu
memanggil kepulangan

dia merenung jari-jemarinya
yang meruncing dan ketar
menggigil kesejukan

pada suatu malam yang dingin
seorang tua
menunggu si anak bawakan selimut
agar nyenyak, tidur yang panjang.

Sufian Mohamed Salleh
28/02/2018 3:45 a.m.

Jumaat, 23 Februari 2018

Puisi: Duhai Malam


DUHAI MALAM

Malam kian membungkam
Kelam di bawah gerimis beku
Membawa bersamanya hari-hari semalam

Memori yang berlabuh
Di kepulauan mimpi terdiam sepi
Mengheret kembara ke danau sepekat hitam

Duhai malam
Rasa ini bagai tersekat di satu garis
Simfoni yang bisu
Bicara yang buta
Dan bencana gempita
Menghempas nestapa di dinding jiwa

Malam berlalu jauh
Dibendung gerhana kesamaran
Bulan separuh mati
Yang ada cuma tanda soal;
Apakah suria akan tiba mengusung gembira
Atau masih terpenjara dipasung gelora
Melarat, terkorban, tanpa pembelaan.

Sufian Mohamed Salleh
22 Februari 2018, 2:34 a.m.


Deskripsi: Puisi ini sebenarnya merujuk kepada situasi politik tanahair yang begitu kotor, dicemari fitnah, pecah amanah, saling menuduh serta berdendam. Mangsa keadaan adalah rakyat warga marhaen. Hentikan sistem pembodohan!

Rabu, 21 Februari 2018

Catatan: Nikmat Rahmat Tuhan


NIKMAT RAHMAT TUHAN

Nikmatilah! Meskipun sekadar setitis embun. Seandainya embun itu jernih. Suci dan bersih. Melegakan. Berbanding seluas lautan terbentang. Namun dahaga tak juga menghilang. Nikmatilah! Erti mensyukuri Rahmat Tuhan.

Sufian Mohamed Salleh
21 Februari 2018

Puisi: Sebuah Buku Bernama Rindu


SEBUAH BUKU BERNAMA RINDU

Dahulu
Di satu masa yang lalu
Kita pernah berada di situ
Bersama
Mendaki ke puncak menara
Mencari dan membina
Erti dan realiti kehidupan

Hari ini
Semuanya telah lama berlalu
Dan kita tidak lagi di situ
Yang ada cuma namamu
Yang aku tulis di dalam buku
Sebuah buku bernama rindu

(Puisi Untuk Intan)

Sufian Mohamed Salleh
14 Februari 2018

Nota: Sajak ringkas ini aku tulis tatkala terkenangkan sesuatu yang aku lalui sewaktu di UPM Serdang, 1991-1994

Rabu, 14 Februari 2018

Puisi: Sebuah Sajak Untuk Mak


SEBUAH SAJAK UNTUK MAK

Mak
aku lihat airmatamu
di setiap senyum
di setiap perilakumu
tatkala anak-anakmu ini
pulang dan kenyang
dengan butir nasi serta lauk-pauk
masakan istimewa hidanganmu

Maafkan aku Mak
kalau aku selalu saja terlupa
mengucapkan terima kasih atas
nikmat dan lazat makanan sediaanmu
zat dan khasiat dari tanganmu
yang tak pernah mengeluh penat
mendewasakan anak-anakmu ini

Mak
aku tahu resah gelisahmu
untuk melihat bahagia
yang lahir dari perit kandunganmu
dan aku tahu Mak
di hatimu seringkali bertanya
apakah kasih ini akan terus subur
apabila hujan berhenti
dan tanah menjadi kontang

Jangan bimbang Mak
lautan waima cakerawala
takkan pernah terbanding
dengan haruman cinta
yang malar mewangi di antara
setiap satu doa darimu
dan kesemua doa-doa untukmu

Mak
Mak adalah Maharani Cinta
di ruang hati di pelusuk jiwa
di segenap kehidupan anak-anakmu
kasih yang mutlak dan abadi
lestari hingga firdausi nanti

Sufian Mohamed Salleh
14 Februari 2018

Selasa, 13 Februari 2018

Senikata: Hilang Berganti


HILANG BERGANTI

Keindahan bersamamu semakin lenyap
Cahaya pelita cintamu kian malap
Semakin hari semakin jauh berlari

Perpisahan titik henti segala kasih
Diriku bukanlah kekasih yang kau pilih
Dirimu pergi diriku sepi sendiri

Tapi sepi hati ini hanya sementara
Tiba-tiba terpancar cahaya
Segalanya menjadi segar semula
Bunga-bunga semekar kembang pagi

Seri mewangi di taman hati
Indah berseri bak pelangi
Ku mensyukuri kurnia Ilahi
Tiada bandingan di hati

Kehilangan telah ada pengganti diri
Usahlah dirimu kembali mengganggui
Usah diburu usah diganggu diriku

Cintamu patah
Tumbuh hilangnya berganti...

Senilagu / Muzik / Vokal: Johan Majid
Senikata: Yans (Sufian Mohamed Salleh)

Deskripsi:
Ciptaan asal muzik dan lirik lagu ini menurut sejarahnya ditulis sekitar era 80-an, tidak begitu diingati tahun yang tepat. Apa yang masih dalam ingatan, ketika itu saya dan sepupu saya (Johan) masih lagi di bangku sekolah menengah, sama-sama memanjat pokok jambu, melepak dan berborak di waktu petang dan saling berkongsi minat mencipta lagu dan menulis lirik. Johan yang kini merupakan seorang guru bahasa Jepun baru-baru ini pada awal tahun 2018 telah memperdengarkan kepada saya lagu nostalgik ini, lagu ciptaan lama yang telah dilengkapkan dan diperkemaskan. “Hilang Berganti” ini adalah memori zaman kanak-kanak / awal remaja yang kami (saudara sepupu) kongsi bersama dan ia akan terus kekal menjadi nostalgia sepanjang hayat kami. Sebenarnya ada banyak lagi lagu dan lirik yang kami hasilkan waktu itu, cuma (buat masa ini) hanya ini yang menjadi kenyataan. Semoga kalian terhibur dengan “Hilang Berganti” ini, sebuah lagu yang membawa kembali keindahan dan kenangan irama pop 1980-an. Terimalah seadanya...
– Nota oleh Sufian Mohamed Salleh 

Isnin, 12 Februari 2018

Puisi: Benarkah?


BENARKAH?

Benarkah?
embun merintih berkabus sepi
di balik ungu si kembang pagi
gersang dan menghilang pergi
berlalu singkat dari peduli

Lenyap sudah
semua mimpi-mimpi indah
yang terulit sepanjang malam tadi
menjadi debu dan duri

Benarkah?
kabur langit berselimut galau
dibiar matahari tersembunyi malu
redup hingga penghujung petang
tiada rasa, tiada cinta
hanyalah lupa maksud sang udara

Langkah kita
seperti jerat yang tidak terlihat
jerangkap samar di luar sedar
menanti di setiap pijak kaki
yang mati, yang tanpa hati

Lalu acap bertandatanya;
Benarkah?

Sufian Mohamed Salleh
7 Disember 2016

Sabtu, 10 Februari 2018

TRANSIT #2: DI SINI SELAMA INI


Transit Kembali!

Isu kedua zine TRANSIT dahpun siap! Seperti yang pertama dulu, format kali ni juga sama; menghimpunkan 12 Puisi dan 4 Catatan karya syok sendiri Sufian Mohamed Salleh a.k.a Pyan Nathias, hehe! Naskah ini asasnya diterbitkan atas dasar sekadar satu koleksi peribadi yang ingin dikongsikan bersama rakan-rakan yang berminat, hmmm.. ada ke yang berminat? Kalau ada, hubungi saya di: facebook.com/piankvlt.




Tuhan! Sebelum aku menutup mata, izinkan aku sejarahkan cinta. Biar jadi rindu-rinduan, buat semua yang aku tinggalkan. Terima kasih Tuhan! Aku menulis bukan kerana nama, aku menulis hanya kerana cinta.

Rabu, 7 Februari 2018

Puisi: Payung Teduh Yang Tertuduh


PAYUNG TEDUH YANG TERTUDUH

Sekaki payung telah musnah
dihumban di kaki jalanan yang tak pernah
dipedulikan kepedulian

Payung itu diterajang parah
dan tidak lagi dikenang sejarah

Basah ia dalam lebat hujan
tidak lagi ia memayung kehidupan
bahkan sendirian kekuyupan
tanpa sebarang perhatian

Kemanusiaan sememangnya begitu
sekadar memandang tanpa melihat

Maka terpinggir dan terbiar
payung teduh yang tertuduh
dakwa-dakwi musim luruh
keringlah sudah sebuah jasa
geringlah segala budi baktinya

Sufian Mohamed Salleh
7 Februari 2018

Catatan: Kota Kata Kita


KOTA KATA KITA

Terjerut dan terjerat. Merempat tidak bertempat. Padat dan sarat; dengan kotoran tikus, sampah dan lelalat. Di situ gerombolan manusia. Mengira-ngira usia sia-sia. Tersepit pada laluan sempit dan batuan menghimpit. Di celahan kota segala raya yang dipalit-palit rasa pahit. Kata-kata kita telah terpancung di kuala penghujung. Hilang junjung dan sanjung. Bergentayangan tergantung.

Sufian Mohamed Salleh
Kuala Lumpur
7 Februari 2018

Catatan: Saksi Pertemuan


SAKSI PERTEMUAN

Di situ kita bertemu. Mewarna cinta dari kebiruan rindu. Membina bahagia dari kelam kelabu semalam. Di situ kita bersama. Menyimpul ikatan seutas tali yang terputus. Mengepal tanah terlerai dan menimbunnya menjadi segunung bukit. Di situ kita berdiri. Hingga mutakhir ini. Hingga terakhir nanti.

Sufian Mohamed Salleh
Bukit Putus, Negeri Sembilan
12 Disember 2016

-------------------------------------------------------
Nota: Dah lama "catatan" ni aku tulis dan terperap dalam apps ColorNote dalam handphone aku, hari ni baru aku perasan (tersedar) ianya belum lagi dimuatnaik dalam blog Transit ni, haha!