YANG HILANG DARI PANDANGAN
aku berdiri lurus memandang paling jauh
dan ku pejam kelopak mata barang sebentar
izin aku kosongkan ruang fikir ini
untuk aku bayang damainya indah dan indahnya damai
yang pernah dulu jadi takhta cinta dan kerinduan
perlahan ku buka biarkan anak mata mengintai
lukisannya kelam dan kurang sempurna
lalu biarkan ia terus ternganga lepaskan semua
pandangan itu memang suram dan tiada lagi maya
segalanya telanjang hitam dan hanya kebencian
mana perginya seri warna yang mensyurgakan dunia
yang dulu bercahaya merentas segenap benua
yang dulu terbentang luas menghias hingga penjuru peta
hilang ke mana? mengapa hilang?
lihatlah!
realiti di hadapan mata yang melihat
rakusnya manusia mencabul maruah sebuah cinta
demi nafsu yang kemudiannya membunuh rindu
diganti dengan dendam membara tiada terpadam
yang akhirnya menghumbankan erti indah dan damai
hancur lebur di pandang hina di lembah kehancuran
ciptaan manusia tanpa kemanusiaan
dan seketika fikirku melayang
bersama kerlip-kerlip mata tak diundang
memandang jauh namun terhalang
mungkinkah kita tanpa sedar sebahagian mereka
turut terpaut meragut bahagia yang kita pernah ada
biarpun sedar kita berada dalam sebahagian mereka
sekadar sedar yang tidak pernah diambil peduli
hujungnya mati sendiri.
Sufian Mohamed Salleh
19 Julai 2016