Sabtu, 31 Disember 2016

Kontribusi Puisi dalam PSYCHOTIC ART ZINE #23


Empat (4) buah puisi tulisan aku dari blog TRANSIT ini telah disumbangkan dan disiarkan dalam PSYCHOTIC ART ZINE #23 (Keluaran Khas: Seremban Zine Fest 2016). Puisi-puisi tersebut adalah:

2. Duri 
3. Bebas 


Bagi yang belum memiliki zine ini dan berminat untuk mendapatkannya, silalah berhubung dengan editornya saudara Amir Fadli di:

Sabtu, 17 Disember 2016

Fotografi: Bukit Putus, Negeri Sembilan





Panorama sekitar Bukit Putus, Jalan Seremban - Kuala Pilah. Foto diambil pada 12 - 13 Disember 2016.

Khamis, 15 Disember 2016

Puisi: Di Sini Selama Ini


DI SINI SELAMA INI

di sini selama ini
kita mengutip butiran gerimis
dan menjejaki tangga-tangga pelangi
sekian lama sudah kembara
jauh juga berkelana
menyelusuri kelikir, debu dan lumpur
mengukur kering kontang kemarau
serta basahnya musim tengkujuh
di situ kita berdiri angkuh

di sini selama ini
urat saraf mengalir dalamnya lahar
bara yang menyala, juga berjelaga
denyut-denyut nadi hangus rentung
kesan-kesan darah pun merekah
legam berparut tak terhapus
kita selalu lupa
maka di situ kita mendada
dalam buta

di sini selama ini
kita kelana sepi, dalam kembara mimpi
kesiangan hari
meraba dan masih tercari
hujung jalan yang sudah pasti.

Sufian Mohamed Salleh
9 Disember 2016

Catatan: Pentas Opera


PENTAS OPERA

Redup. Petang ku lihat kian sayup. Kemanusiaan berlari mengejar hidup. Di pinggir terhumban sebuah peradaban. Lantaran sesaknya degup pengharapan. Nafas cinta kelelahan. Sesat jalan pulang. Lalu hilang.

Sufian Mohamed Salleh
Selayang Pandang, Batu Caves
24 November 2016

Rabu, 7 Disember 2016

Testimoni: Transit #1 – Flash Rock


Aku Bukanlah Pemuisi (Transit #1) sebuah hasil karya Pyan Nathias adalah sangat berlainan dengan jiwanya yang boleh dilihat. Ternyata memang ada perasaan emo di dalam hati kekeke.. catatan pendek yang dikumpulkan dari tahun 2013 sampai 2016 menampakkan bentuk luahan yang terpendam dan kini dibukukan. Tertulis melalui kasih sayang terhadap insan terpenting dalam hidup dan kata-kata semangat untuk diri sendiri bagi meneruskan sesuatu yang sedang diusahakan. Seperti menanti cabaran dan dugaan seterusnya bagi meneruskan kembara destinasi beliau untuk terus ke hadapan. Sangat baik dan touch my heart. Tq boss atas freegift ini. I will keep this friendship as tough as steel. Keep it up!

Flash Rock – 7 Disember 2016

Nota: Nama sebenar Flash Rock adalah Mohd Tarmizi bin Saadon. Beliau pernah menyunting fanzine yang dikenali sebagai popcorn2alicia zine dan kini merupakan vokalis/bassist dalam band Crust Grind/Punk, Terryrotten.

Isnin, 5 Disember 2016

Testimoni: Transit #1 – Adi Herman


Bait-bait puisi beranyam aksara indah hasil karya tuan Pyan Nathias. Terima kasih untuk zine-nya, tuan.

Adi Herman - 5 Disember 2016

Nota: Adi Herman adalah ketua editor zine Bisak Palak serta penulis antologi cerpen Pentagram Di Atas Pusara. Beliau juga pengendali blog Molotov Cocktailz

Ahad, 4 Disember 2016

Testimoni: Transit #1 – Khairul Mohd Zan


"Yang paling halus adalah jiwa"
Terima kasih kembali bang Pyan Nathias..

Khairul Mohd Zan – 4 Disember 2016
facebook.com/kairu.rukawa

Nota: Khairul adalah penulis / penyunting zine Kontradiksi.

Jumaat, 2 Disember 2016

Testimoni: Transit #1 – Mohd Asraf Mohamad


"aku hanya mahu berkata-kata
dalam bicara tanpa suara
tentang mimpi dan kehidupan
tentang realiti dan pengakhiran"

Zine TRANSIT #1 Aku Bukanlah Pemuisi. Sudah selamat sampai. Hasil nukilan Abang Pyan. Ternyata, dengan menggunakan ayat-ayat 'simple' dan mudah untuk difahami- lebih terus menusuk jantung, tenggelam dalam ufuk jiwa --tanpa meronta. Dikupas halus isi sajaknya hingga telanjang indah aksara. Sajak-sajak yang terkandung dalam zine ini terlalu khusyuk membuai; menekan jiwa, seolah mahu meronta, berteriak rasa dan resah untuk berjuang melalui lorong-lorong kehidupan membuak di dada.

Selepas membaca zine ini, mungkin saya tak akan bergurau lebih kurang dengan Abang Pyan. Segan juga rasanya.

Menulis terus, bang!

Mohd Asraf Mohamad – 1 Disember 2016
instagram.com/asrapmohamad
facebook.com/asrap.mohamad

Nota: Asraf Mohamad adalah penulis zine Eksploitasi Sunyi.

Khamis, 1 Disember 2016

TRANSIT #1: AKU BUKANLAH PEMUISI


Telah Terbit!

Himpunan 12 Puisi & 4 Catatan acah-acah puitis karya syok sendiri Sufian Mohamed Salleh a.k.a Pyan Nathias. Dicetak dalam format minizine 20 mukasurat (termasuk kulit) bersaiz A5. Diterbitkan atas dasar sekadar satu koleksi peribadi yang ingin dikongsikan bersama rakan-rakan yang berminat. Ianya bukan untuk dijual-beli. Sesiapa yang ingin turut menikmati perkongsian ini, inbox saya nama & alamat. Hubungi: sufianmohamedsalleh@gmail.com.




Bak kata Ramli Sarip: "Aku menulis bukan kerana nama. Kerana sifat kasih pada sesama insan dan menyatakan kasih sayangku. Kita sama semuanya sama. Apa yang ada hanyalah kehidupan".

Rabu, 30 November 2016

Puisi: Neraka Di Atas Dunia


NERAKA DI ATAS DUNIA

Terbakar!
lidah api itu menjalar
merebak marak membakar
dibakar bumi bergelumang mungkar

sedarlah!
DIA sedang merisik khabar
disampaikan sebuah berita benar

malapetaka
dari bencana dan celaka
telahpun jelas dipetandakan Neraka
di atas Dunia durhaka!

Sufian Mohamed Salleh
30 November 2016


Nota: Sajak ini merujuk kepada kejadian Kebakaran Besar di Israel selama 5 hari bermula pada Selasa, 22 November 2016. Kebanyakan menganggap ia adalah satu tanda kemurkaan Tuhan terhadap kezaliman Israel yang tidak henti-henti menzalimi bumi Palestin. Aku tulis sajak ringkas ini menggambarkan ianya "neraka kecil" agar disedari / diingati umat manusia, termasuk aku. Hancur israel Hancur!

Khamis, 24 November 2016

Puisi: Diguris Luka


DIGURIS LUKA

Diguris luka
Berdarah pancaindera
Mata, telinga dan semuanya
Sengsara.

Pasrah?
Tidak. Kerna darah tak henti-henti diperah
Ditoreh-toreh luka sehingga parah
Bernanah menanah; mengundang barah
Merah marah tak sudah.

Mereka leka dan terus menghiris
Tiada peduli tentang hati-hati yang terguris
Mereka biarkan luka mengudis
Di kalangan tangan-tangan yang mengemis
Hingga nanti suatu masa
Usah dikesali tentang dosa
Kerna itulah bahang duka
Yang pernah kau luka-lukakan sekian lama.

Bertabahlah Rohingya.

Sufian Mohamed Salleh
24 November 2016

Khamis, 17 November 2016

Puisi: Aku Bukanlah Pemuisi


AKU BUKANLAH PEMUISI

Aku bukanlah pemuisi
terbang tinggi mencecah awan
menyelam jauh ke dasar terdalam
aku hanya mahu berkata-kata
dalam bicara tanpa suara
tentang langit dan lautan
tentang bumi dan semesta

Aku bukanlah pemuisi
menghunus pedang di medan perang
membahas hujah di pentas pidato
aku hanya mahu berkata-kata
dalam bicara tanpa suara
tentang rindu dan pengharapan
tentang cinta dan pengorbanan

Aku bukanlah pemuisi
yang lahir bersama bahasa berbunga
yang hadir membawa hiasan berkias
aku hanya mahu berkata-kata
dalam bicara tanpa suara
tentang mimpi dan kehidupan
tentang realiti dan pengakhiran.

Sufian Mohamed Salleh
17 November 2016

Fotografi: Supermoon di sempadan Tibet-China


This is a real photograph taken at Kailaas, Maan-Sarovar - Tibet-China border from 18,600 ft height at 3.30 am. The photo is not edited! Enjoy the beauty of nature.

2 - 3 hari lepas agak kecoh dengan kisah fenomena supermoon. Malah berita tentangnya telah beberapa minggu lebih awal dihebahkan. Ya, supermoon dijadualkan berlaku dan boleh dilihat di Malaysia ini pada 14 November 2016. Sedikit cerita tentang supermoon aku letak di bawah ini:

------------------------------

Fenomena Supermoon 14 November 2016. Menurut Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi, orang ramai bakal menyaksikan fenomena supermoon iaitu bulan akan kelihatan jauh lebih besar dari biasa pada 14 November ini. Kali terakhir supermoon berlaku adalah pada 68 tahun lalu.

Supermoon diramalkan berlaku pada jam 7:25 mlm dan berada pada fasa penuh / purnama pada 9:54 mlm waktu Malaysia.

Apa itu supermoon?

Supermoon atau istilah astronomi - Lunar Perigee adalah fenomena di mana bulan berada di kedudukan paling hampir dengan bumi. Bulan akan kelihatan lebih besar dan terang; 14 peratus lebih besar dan 30 peratus lebih cerah daripada hari biasa pada fasa purnama. Istilah supermoon pertama kali dikemukakan oleh ahli astronomi, Richard Nolle pada tahun 1979.

Fenomena supermoon pernah berlaku pada Mei 2012, 23 Jun 2013, Ogos 2014 dan September 2015. Namun ia tidak sama seperti apa yang dijangka berlaku pada 14 November 2016 kerana kerana supermoon berada pada jarak lebih dekat dengan bumi sejak 68 tahun.

Orang ramai digalakkan melihat fenomena ini kerana ia diramalkan berlaku 18 tahun akan datang mengikut kiraan dijangka berlaku pada 25 November 2034.

------------------------------

Ok.. di tempat aku ni, di sekitar Lembah Kelang, tunggu punya tunggu punya tunggu.. bayang cahaya bulan pun tak nampak, huhu! Pada hari tersebut, Isnin 14 November 2016 cuaca tidak begitu baik. Mendung, berkabus dan hujan lebat di beberapa tempat. Itulah sebabnya bulan malu-malu memunculkan dirinya. Nampaknya kenalah tunggu lagi 68 tahun, Hahaha!

Disebabkan "kempunan" tak dapat tengok supermoon, maka mulaha google sini-sana nak tengok bagaimana rupanya supermoon di tempat orang. So, aku jumpa la satu foto yang sungguh indah, fenomena supermoon yang dilaporkan berlaku di Kailaas, Maan-Sarovar - sempadan Tibet-China (sebagaimana foto di atas).

Ahad, 13 November 2016

Catatan: Duka Yang Terpendam


DUKA YANG TERPENDAM

Yang mengalir kelam. Di dalamnya, dasar suram. Kesan luka lara semalam. Kisah duka yang terpendam.

Foto: Sungai Sekakap, Mersing. 13 September 2016.

Rabu, 9 November 2016

Puisi: Desolasi


DESOLASI

dibentangi lautan kelabu
beradu malam ranjangnya pilu
jejak-jejak yang hilang
rentak-rentak yang tempang
diam dan terbenam
terdampar di dasar terdalam

bergenang di jendela senja
disimbahi hujan sekeruh jingga
daun dan bunga lama meluruh
satu musim terasing menjauh
sepi seakan tiada bertepi
tiada sisi di bucu-bucu persegi

----- desolasi

---------- desolasi

--------------- desolasi

simfoni itu mengheret hanyut
dalam bunyi lagu tanpa runut
sendirian
meraba tercari sebuah noktah
pada bahasa nota irama resah
kesunyian
berada antara pertembungan
satu-satunya titik pertemuan
rohani hidup dan mati
fana dan baqa

Sufian Mohamed Salleh
08/11/2016 // 5:18 ptg

Isnin, 7 November 2016

Puisi: Bangunlah!


BANGUNLAH!

bangunlah!
bangunlah dari lelahmu
bangun dan terus berjalan
jangan biarkan langkahmu patah
jangan biarkan nafasmu lemas

bangunlah!
teruslah berjalan tanpa asa
lorong ini sengaja dibina sempit
terowong itu direka menghimpit
jangan biarkan kakimu lemah
jangan biarkan hatimu mengalah

lihat nun di hadapan sana
di situ simpang melega dahaga
jengah jauh di hujung situ
di sana tenang sedang menunggu
maka bangunlah!
satukan rindu-rindumu
hingga ketemu cinta nan satu

Sufian Mohamed Salleh
7 November 2016

Sabtu, 5 November 2016

Puisi: Duri


DURI

duri-duri tajam itu
mencucuk; merobek
menembusi kulit dan isi
menusuk hingga ke pangkal hati
melukakan; pedih segenap rasa
tersiat; berdarah
mengalir merah membasah jiwa
merentap marah; meratap lara
dan duri-duri tajam itu
masih bermaharaja di situ
makin kejam menikam
bertopeng wajah pesona
bunga harum setaman

Sufian Mohamed Salleh
3 November 2016

Selasa, 1 November 2016

Puisi: Tanya Pada Nyawa


TANYA PADA NYAWA

dapatkah digapai rambulan?
tatkala mentari masih amarah
membakar keinginan malam
bahangnya membunuh mimpi

dapatkah diusap sepoi bayu?
tatkala taufan berpusar garang
memusnah senyuman awan
kelabu pula melindungi realiti

remang senja seakan tersengih
memerli kehidupan dimamah tua
siang tadi hanya kosong tanpa makna
dan cahaya dipersia tanpa cakna
kelam juga larut bersama igau
dingin menusuk sekadar membeku
fajar terlelap bukan sekejap

roda masa tak jemu berpusing
semalam kembali lagi untuk berulang
pada hari dan waktu yang lain
pada siang dan malam yang berganti

pagi ini, cubalah tanya pada nyawa
masihkah dihirup udara yang sama?
mungkinkah dikecap nafas berbeza?
di mana sempurna hari kemudian?

Sufian Mohamed Salleh
29 Oktober 2016

Isnin, 31 Oktober 2016

Kontribusi Puisi dalam BANGKIT! #2.5


Empat (4) buah puisi tulisan aku dari blog TRANSIT ini telah disumbangkan dan disiarkan dalam zine BANGKIT! #2.5 (Edisi Khas: Kuala Lumpur Zine Fest 2016). Puisi-puisi tersebut adalah:

1. Janji Kata
2. Yang Hilang Dari Pandangan
3. Binatang!
4. Kehidupan Telah Mati

Maklumat lanjut mengenai penerbitan zine BANGKIT! #2.5 boleh dilihat di: punksinametalhead.blogspot.com atau di facebook: fb.com/bangkitzine.

Rabu, 26 Oktober 2016

Catatan: Bicara Tanpa Suara


BICARA TANPA SUARA

Hari ini aku melihat manusia kian rakus. Hari ini aku melihat insani makin terhapus. Hari ini aku melihat kehidupan dunia mulai pupus. Dan hari ini juga aku melihat akan adakah esok yang kudus?


Foto: Pohon Manggis Tua / Kg. Air Merah, Mersing, Johor // 12 September 2016

Puisi: Bebas


BEBAS

aku mahu bebas dari penjara kotor ini
yang dalamnya takungan najis angkuh
serta busuk sombong hurungan lalat
hitam pekat langsung tiada cahaya
ditutup rapat menghadangi suria
gelap dan membutakan

aku mahu segera keluar!
bangkit menjulang panji-panji juang
meski menongkah arus di cerun curam
biar jatuh, tetap bangun dan terus lawan
menentang dalang dan petualang
meroboh tembok berdinding songsang

bebaskan aku!
aku mahu hidup ini bebas dari kurungan
aku mahu suara ini bebas untuk berlagu
aku mahu langkah ini bebas berlari pantas
di atas batas-batas, di padang nan luas

Sufian Mohamed Salleh
26 Oktober 2016

Fotografi: Tiada Kota Seindah Desa (bahagian 2)


TIADA KOTA SEINDAH DESA | Foto: sekitar kawasan rumah di mana aku lahir dan dibesarkan. Kg. Air Merah, Mersing, Johor | Tarikh: 15 September 2016 | Facebook Post: 1444435928905815

Fotografi: Tiada Kota Seindah Desa (bahagian 1)


TIADA KOTA SEINDAH DESA | Foto: sekitar kawasan rumah di mana aku lahir dan dibesarkan. Kg. Air Merah, Mersing, Johor | Tarikh: 15 September 2016 | Facebook Post: 1442652095750865

Puisi: Lidahnya


LIDAHNYA

lidahnya
lembut tiada tulang
saban hari berdondang sayang
menyanyi lagu mungkir janji
pisau tajam menikam
depan belakang sembang

lidahnya
bercabang lebih dua
siur simpangnya ganda empat
bengkang-bengkok tak lurus
jalan berlubang langgar terus
kiri kanan temberang

lidahnya
tanpa hati menjulur dari perut
tanpa rasa menjelir dari mulut
leher dijerut tali membelit
luar dalam tembelang

lidahnya
liurnya air bisa mematikan
ludahnya racun pembunuh

Sufian Mohamed Salleh
18/10/2016 12:52am

Selasa, 18 Oktober 2016

Puisi: Pada Sebuah Kehidupan


PADA SEBUAH KEHIDUPAN

di laluan ranjau, bersusun panjang duri sembilu
rimbun daun hijau menguning, yang lain berguguran
rama-rama berterbangan membelai langit kelabu
mengepak bongkak pada warnanya
sedang hayat tak lama, akhir menyembah bumi

tanah semakin kontang, gersang rahmat hujan
airmata tak akan pernah cukup membasuh kelukaan
kemarau membunuh mimpi dan menuduh pelangi
harapan berkilauan sekadar memperdaya
merobek tirai angan kepul-kepulan awan hitam

rimba hidup ini kian kering tinggal ranting
pepohon tinggi mereput dan mulai patah-patah
cengkerik-cengkerik telah pergi lupakan malam
bulan tampak bisu dalam bayangan sungai lesu
dataran yang terhampar sugul serta hambar
longlai dan mati diperkosa ribut kebinasaan

kehidupan itu biar kekal akarumbinya sebagai nadi
bekal subur pada kehidupan yang sebuah lagi.

Sufian Mohamed Salleh
14 Oktober 2016

Ahad, 16 Oktober 2016

Fotografi: Batu Caves | 15 Oktober 2016



Lokasi: Batu Caves, Selangor
*foto dari arah Gua Damai Extreme Park
Tarikh: 15 Oktober 2016

Sabtu, 17 September 2016

Fotografi: Sungai Sekakap | 13 September 2016





Lokasi: Sungai Sekakap, Mersing
Tarikh: 13 September 2016

Fotografi: Pohon Manggis Tua



Pohon Manggis Tua
Kg. Air Merah, Mersing, Johor
12 September 2016