Rabu, 30 November 2016

Puisi: Neraka Di Atas Dunia


NERAKA DI ATAS DUNIA

Terbakar!
lidah api itu menjalar
merebak marak membakar
dibakar bumi bergelumang mungkar

sedarlah!
DIA sedang merisik khabar
disampaikan sebuah berita benar

malapetaka
dari bencana dan celaka
telahpun jelas dipetandakan Neraka
di atas Dunia durhaka!

Sufian Mohamed Salleh
30 November 2016


Nota: Sajak ini merujuk kepada kejadian Kebakaran Besar di Israel selama 5 hari bermula pada Selasa, 22 November 2016. Kebanyakan menganggap ia adalah satu tanda kemurkaan Tuhan terhadap kezaliman Israel yang tidak henti-henti menzalimi bumi Palestin. Aku tulis sajak ringkas ini menggambarkan ianya "neraka kecil" agar disedari / diingati umat manusia, termasuk aku. Hancur israel Hancur!

Khamis, 24 November 2016

Puisi: Diguris Luka


DIGURIS LUKA

Diguris luka
Berdarah pancaindera
Mata, telinga dan semuanya
Sengsara.

Pasrah?
Tidak. Kerna darah tak henti-henti diperah
Ditoreh-toreh luka sehingga parah
Bernanah menanah; mengundang barah
Merah marah tak sudah.

Mereka leka dan terus menghiris
Tiada peduli tentang hati-hati yang terguris
Mereka biarkan luka mengudis
Di kalangan tangan-tangan yang mengemis
Hingga nanti suatu masa
Usah dikesali tentang dosa
Kerna itulah bahang duka
Yang pernah kau luka-lukakan sekian lama.

Bertabahlah Rohingya.

Sufian Mohamed Salleh
24 November 2016

Khamis, 17 November 2016

Puisi: Aku Bukanlah Pemuisi


AKU BUKANLAH PEMUISI

Aku bukanlah pemuisi
terbang tinggi mencecah awan
menyelam jauh ke dasar terdalam
aku hanya mahu berkata-kata
dalam bicara tanpa suara
tentang langit dan lautan
tentang bumi dan semesta

Aku bukanlah pemuisi
menghunus pedang di medan perang
membahas hujah di pentas pidato
aku hanya mahu berkata-kata
dalam bicara tanpa suara
tentang rindu dan pengharapan
tentang cinta dan pengorbanan

Aku bukanlah pemuisi
yang lahir bersama bahasa berbunga
yang hadir membawa hiasan berkias
aku hanya mahu berkata-kata
dalam bicara tanpa suara
tentang mimpi dan kehidupan
tentang realiti dan pengakhiran.

Sufian Mohamed Salleh
17 November 2016

Fotografi: Supermoon di sempadan Tibet-China


This is a real photograph taken at Kailaas, Maan-Sarovar - Tibet-China border from 18,600 ft height at 3.30 am. The photo is not edited! Enjoy the beauty of nature.

2 - 3 hari lepas agak kecoh dengan kisah fenomena supermoon. Malah berita tentangnya telah beberapa minggu lebih awal dihebahkan. Ya, supermoon dijadualkan berlaku dan boleh dilihat di Malaysia ini pada 14 November 2016. Sedikit cerita tentang supermoon aku letak di bawah ini:

------------------------------

Fenomena Supermoon 14 November 2016. Menurut Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi, orang ramai bakal menyaksikan fenomena supermoon iaitu bulan akan kelihatan jauh lebih besar dari biasa pada 14 November ini. Kali terakhir supermoon berlaku adalah pada 68 tahun lalu.

Supermoon diramalkan berlaku pada jam 7:25 mlm dan berada pada fasa penuh / purnama pada 9:54 mlm waktu Malaysia.

Apa itu supermoon?

Supermoon atau istilah astronomi - Lunar Perigee adalah fenomena di mana bulan berada di kedudukan paling hampir dengan bumi. Bulan akan kelihatan lebih besar dan terang; 14 peratus lebih besar dan 30 peratus lebih cerah daripada hari biasa pada fasa purnama. Istilah supermoon pertama kali dikemukakan oleh ahli astronomi, Richard Nolle pada tahun 1979.

Fenomena supermoon pernah berlaku pada Mei 2012, 23 Jun 2013, Ogos 2014 dan September 2015. Namun ia tidak sama seperti apa yang dijangka berlaku pada 14 November 2016 kerana kerana supermoon berada pada jarak lebih dekat dengan bumi sejak 68 tahun.

Orang ramai digalakkan melihat fenomena ini kerana ia diramalkan berlaku 18 tahun akan datang mengikut kiraan dijangka berlaku pada 25 November 2034.

------------------------------

Ok.. di tempat aku ni, di sekitar Lembah Kelang, tunggu punya tunggu punya tunggu.. bayang cahaya bulan pun tak nampak, huhu! Pada hari tersebut, Isnin 14 November 2016 cuaca tidak begitu baik. Mendung, berkabus dan hujan lebat di beberapa tempat. Itulah sebabnya bulan malu-malu memunculkan dirinya. Nampaknya kenalah tunggu lagi 68 tahun, Hahaha!

Disebabkan "kempunan" tak dapat tengok supermoon, maka mulaha google sini-sana nak tengok bagaimana rupanya supermoon di tempat orang. So, aku jumpa la satu foto yang sungguh indah, fenomena supermoon yang dilaporkan berlaku di Kailaas, Maan-Sarovar - sempadan Tibet-China (sebagaimana foto di atas).

Ahad, 13 November 2016

Catatan: Duka Yang Terpendam


DUKA YANG TERPENDAM

Yang mengalir kelam. Di dalamnya, dasar suram. Kesan luka lara semalam. Kisah duka yang terpendam.

Foto: Sungai Sekakap, Mersing. 13 September 2016.

Rabu, 9 November 2016

Puisi: Desolasi


DESOLASI

dibentangi lautan kelabu
beradu malam ranjangnya pilu
jejak-jejak yang hilang
rentak-rentak yang tempang
diam dan terbenam
terdampar di dasar terdalam

bergenang di jendela senja
disimbahi hujan sekeruh jingga
daun dan bunga lama meluruh
satu musim terasing menjauh
sepi seakan tiada bertepi
tiada sisi di bucu-bucu persegi

----- desolasi

---------- desolasi

--------------- desolasi

simfoni itu mengheret hanyut
dalam bunyi lagu tanpa runut
sendirian
meraba tercari sebuah noktah
pada bahasa nota irama resah
kesunyian
berada antara pertembungan
satu-satunya titik pertemuan
rohani hidup dan mati
fana dan baqa

Sufian Mohamed Salleh
08/11/2016 // 5:18 ptg

Isnin, 7 November 2016

Puisi: Bangunlah!


BANGUNLAH!

bangunlah!
bangunlah dari lelahmu
bangun dan terus berjalan
jangan biarkan langkahmu patah
jangan biarkan nafasmu lemas

bangunlah!
teruslah berjalan tanpa asa
lorong ini sengaja dibina sempit
terowong itu direka menghimpit
jangan biarkan kakimu lemah
jangan biarkan hatimu mengalah

lihat nun di hadapan sana
di situ simpang melega dahaga
jengah jauh di hujung situ
di sana tenang sedang menunggu
maka bangunlah!
satukan rindu-rindumu
hingga ketemu cinta nan satu

Sufian Mohamed Salleh
7 November 2016

Sabtu, 5 November 2016

Puisi: Duri


DURI

duri-duri tajam itu
mencucuk; merobek
menembusi kulit dan isi
menusuk hingga ke pangkal hati
melukakan; pedih segenap rasa
tersiat; berdarah
mengalir merah membasah jiwa
merentap marah; meratap lara
dan duri-duri tajam itu
masih bermaharaja di situ
makin kejam menikam
bertopeng wajah pesona
bunga harum setaman

Sufian Mohamed Salleh
3 November 2016

Selasa, 1 November 2016

Puisi: Tanya Pada Nyawa


TANYA PADA NYAWA

dapatkah digapai rambulan?
tatkala mentari masih amarah
membakar keinginan malam
bahangnya membunuh mimpi

dapatkah diusap sepoi bayu?
tatkala taufan berpusar garang
memusnah senyuman awan
kelabu pula melindungi realiti

remang senja seakan tersengih
memerli kehidupan dimamah tua
siang tadi hanya kosong tanpa makna
dan cahaya dipersia tanpa cakna
kelam juga larut bersama igau
dingin menusuk sekadar membeku
fajar terlelap bukan sekejap

roda masa tak jemu berpusing
semalam kembali lagi untuk berulang
pada hari dan waktu yang lain
pada siang dan malam yang berganti

pagi ini, cubalah tanya pada nyawa
masihkah dihirup udara yang sama?
mungkinkah dikecap nafas berbeza?
di mana sempurna hari kemudian?

Sufian Mohamed Salleh
29 Oktober 2016