LANGIT PASTI KEMBALI MEMBIRU
meskipun mendung bertandang
singgah di jendela sepertiga malam
dan mengaburi saujana pandang
di sepanjang susur kelam
kau percayalah pada dirimu bahawa
langit pasti akan kembali membiru
biarlah unggas berlagu senyap
meratap di celahan rimbunan gelap
tatkala sayapnya dipaku duri
cuma malam hingga terbit matahari
kau percayalah pada dirimu bahawa
langit pasti akan kembali membiru
percayalah,
hidup ini bagaikan langit terbentang
dan seketika pandangannya terhalang
tompokan awan hitam dan guruh api
takkan pernah merubah jika kau tahu
langit pasti akan kembali membiru
kau percayalah pada dirimu bahawa
langit pasti akan kembali membiru
Sufian Mohamed Salleh
22 November 2018 / 5:42 p.m.