Sabtu, 28 Oktober 2017
Puisi: Kau Fikir Kau Siapa?
KAU FIKIR KAU SIAPA?
Siakap senohong
Gelama ikan duri
Bohong!
Terang-terang engkau mencuri
Kau fikir kau siapa?
Kau dewa, kaulah perwira
Semuanya kau sapu
Hakku jadi hartamu
Kau fikir kau siapa?
Kau pembohong!
Lihat pada kaki di mana kau berdiri
Mengelat atas kaki-kaki berdikari
Lesap!
Senyap dan akhirnya lenyap
Mulut-mulut yang kau suap
Dengan biadap dan sampah sarap
Lalu lupus
Nurani dibunuh dan terhapus
Insani juga telah pupus
Di antara engkau-engkau yang rakus
Kau fikir kau siapa?
Menjadi tuhan kepada Tuhan.
Sufian Mohamed Salleh
6:45ptg // 27 Oktober 2017
Isnin, 23 Oktober 2017
Puisi: Daerah Melankolia
DAERAH MELANKOLIA
Entah mengapa lautan terdampar mati
Bayu hilang tak bersapaan sebagaimana biasa
Deru juga sebegitu sunyi ––tiada bunyi
Entah di mana ombak-ombak terlantar
Mungkin bersembunyi jauh di dasar
Tinggal pasir-pasir menunggu di pantai
Meratapi buih-buih rindu pecah di persisiran
Cengkerang dan batu karang
Yang dulunya kalung-kalungan terindah
Kering menjadi batu-batuan teritip
Terbiar tak dikutip, bahkan berkecai
Tajam serpihnya melukakan rasa
Suram, muram dan semakin kelam
Dibawa pergi suria terbenam
Entah mengapa salju turun di dadaku
Dan segenap penjuru adalah hawa dingin beku
Di daerah melankolia tanpa sempadan
Aku bersandar sendiri ––dibelenggu sepi
Di daerah melankolia ini
Atlantik hanya mampu diam membisu
melihat Sahara yang tertimbus salji
di situ aku
––turut berkabung bersamanya
Sufian Mohamed Salleh
3:13pg // 20 Oktober 2017
Khamis, 19 Oktober 2017
Puisi: Keadilan Yang Dipijak-pijak
KEADILAN YANG DIPIJAK-PIJAK
untuk siapa keadilan ini
dipijak-pijak di bawah kaki
mati, tiada penghuni
tumit kaki yang berdaki
hitam legam dan membusuk
menusuk duri-duri mimpi
menghancur sekelumit harapan
dirantai tanpa seutas tali
mati, melopong dan benci
mereka berbaris
dalam kibaran panji demokrasi
saksama yang ditipu-daya
Sufian Mohamed Salleh
6 September 2017
Puisi: Dia Ada Berkata
DIA ADA BERKATA
dia pernah berkata
hidup ini sebuah perlumbaan
jangan pernah mengalah pada kegagalan
dia juga pernah berkata
hidup ini adalah pencarian
jangan pernah bersembunyi dari kehilangan
dan pada satu ketika dia juga ada berkata
hidup ini perjalanan
di sini cuma sebuah permulaan
(Terima kasih Abah)
Sufian Mohamed Salleh
14 September 2017
Rabu, 18 Oktober 2017
Catatan: Sebelum Aku Menutup Mata
SEBELUM AKU MENUTUP MATA
Tuhan! Sebelum aku menutup mata, izinkan aku sejarahkan cinta. Biar jadi rindu-rinduan, buat semua yang aku tinggalkan. Terima kasih Tuhan! Aku menulis bukan kerana nama, aku menulis hanya kerana cinta.
Sufian Mohamed Salleh
12 Oktober 2017
12 Oktober 2017
Selasa, 3 Oktober 2017
Puisi: Jangan Biarkan Mentari Sepi
Jangan Biarkan Mentari Sepi
aku hilang butir-butir bintang aksara
untuk ku ukir cakerawala puisi
hingga aku lena tanpa rambulan untukmu
hingga kau berduka lara
betapa malam semalam gelita
yang dicari seakan bersembunyi
kegelapan jalan-jalan itu tak terjejaki
sia-sia cengkerik berlagu
sia-sia pungguk merindu
lorong bisu
ruang-ruang kosong
dalam aku mencari aku
yang terbuai nyenyak dan dengkur
di mana mimpi-mimpi beradu di sisi
di mana igau-igau menari
pada hari-hari ini
jangan lagi dibiarkan mentari sepi
aku perlu segera bangun dan buka mata
cermin diri dan cuci muka
rawat cedera dunia dengan cinta
ubatkan luka dalam cita untuk ke sana
Bangkit!
Sufian Mohamed Salleh
21 Mac 2017
sempena Hari Puisi Sedunia
Langgan:
Catatan (Atom)