Sabtu, 28 Oktober 2017

Puisi: Kau Fikir Kau Siapa?


KAU FIKIR KAU SIAPA?

Siakap senohong
Gelama ikan duri
Bohong!
Terang-terang engkau mencuri

Kau fikir kau siapa?
Kau dewa, kaulah perwira
Semuanya kau sapu
Hakku jadi hartamu

Kau fikir kau siapa?
Kau pembohong!
Lihat pada kaki di mana kau berdiri
Mengelat atas kaki-kaki berdikari

Lesap!
Senyap dan akhirnya lenyap
Mulut-mulut yang kau suap
Dengan biadap dan sampah sarap

Lalu lupus
Nurani dibunuh dan terhapus
Insani juga telah pupus
Di antara engkau-engkau yang rakus

Kau fikir kau siapa?
Menjadi tuhan kepada Tuhan.

Sufian Mohamed Salleh
6:45ptg // 27 Oktober 2017

Isnin, 23 Oktober 2017

Puisi: Daerah Melankolia


DAERAH MELANKOLIA

Entah mengapa lautan terdampar mati
Bayu hilang tak bersapaan sebagaimana biasa
Deru juga sebegitu sunyi ––tiada bunyi

Entah di mana ombak-ombak terlantar
Mungkin bersembunyi jauh di dasar
Tinggal pasir-pasir menunggu di pantai
Meratapi buih-buih rindu pecah di persisiran

Cengkerang dan batu karang
Yang dulunya kalung-kalungan terindah
Kering menjadi batu-batuan teritip
Terbiar tak dikutip, bahkan berkecai
Tajam serpihnya melukakan rasa
Suram, muram dan semakin kelam
Dibawa pergi suria terbenam

Entah mengapa salju turun di dadaku
Dan segenap penjuru adalah hawa dingin beku
Di daerah melankolia tanpa sempadan
Aku bersandar sendiri ––dibelenggu sepi

Di daerah melankolia ini
Atlantik hanya mampu diam membisu
melihat Sahara yang tertimbus salji
di situ aku
––turut berkabung bersamanya

Sufian Mohamed Salleh
3:13pg // 20 Oktober 2017

Khamis, 19 Oktober 2017

Puisi: Keadilan Yang Dipijak-pijak


KEADILAN YANG DIPIJAK-PIJAK

untuk siapa keadilan ini
dipijak-pijak di bawah kaki
mati, tiada penghuni

tumit kaki yang berdaki
hitam legam dan membusuk
menusuk duri-duri mimpi
menghancur sekelumit harapan
dirantai tanpa seutas tali
mati, melopong dan benci

mereka berbaris
dalam kibaran panji demokrasi
saksama yang ditipu-daya

Sufian Mohamed Salleh
6 September 2017

Puisi: Dia Ada Berkata


DIA ADA BERKATA

dia pernah berkata
hidup ini sebuah perlumbaan
jangan pernah mengalah pada kegagalan

dia juga pernah berkata
hidup ini adalah pencarian
jangan pernah bersembunyi dari kehilangan

dan pada satu ketika dia juga ada berkata
hidup ini perjalanan
di sini cuma sebuah permulaan

(Terima kasih Abah)

Sufian Mohamed Salleh
14 September 2017

Rabu, 18 Oktober 2017

Catatan: Sebelum Aku Menutup Mata


SEBELUM AKU MENUTUP MATA

Tuhan! Sebelum aku menutup mata, izinkan aku sejarahkan cinta. Biar jadi rindu-rinduan, buat semua yang aku tinggalkan. Terima kasih Tuhan! Aku menulis bukan kerana nama, aku menulis hanya kerana cinta.

Sufian Mohamed Salleh
12 Oktober 2017

Selasa, 3 Oktober 2017

Puisi: Jangan Biarkan Mentari Sepi


Jangan Biarkan Mentari Sepi

aku hilang butir-butir bintang aksara
untuk ku ukir cakerawala puisi
hingga aku lena tanpa rambulan untukmu
hingga kau berduka lara
betapa malam semalam gelita

yang dicari seakan bersembunyi
kegelapan jalan-jalan itu tak terjejaki
sia-sia cengkerik berlagu
sia-sia pungguk merindu
lorong bisu
ruang-ruang kosong
dalam aku mencari aku
yang terbuai nyenyak dan dengkur
di mana mimpi-mimpi beradu di sisi
di mana igau-igau menari

pada hari-hari ini
jangan lagi dibiarkan mentari sepi
aku perlu segera bangun dan buka mata
cermin diri dan cuci muka
rawat cedera dunia dengan cinta
ubatkan luka dalam cita untuk ke sana
Bangkit!

Sufian Mohamed Salleh
21 Mac 2017
sempena Hari Puisi Sedunia

Selasa, 5 September 2017

Fotografi: Sebatang Sungai Derhaka




Sebatang Sungai Derhaka
Lokasi: Mersing
Tarikh: 3 September 2017
Masa: 7:16 petang

Fotografi: Pertembungan 6:23 Petang



Pertembungan 6:23 Petang
Lokasi: Pantai Bandar Mersing
Tarikh: 1 September 2017
Masa: 6:23 petang

Ahad, 23 Julai 2017

Fotografi: Pantai Sabak, Pengkalan Chepa | 18 Julai 2017


Lokasi: Pantai Sabak, Pengkalan Chepa
Tarikh / Masa: 18.07.2017 // 6:42 petang

Pantai Sabak, Pengkalan Chepa (Kelantan) mempunyai sigfinikasi penting pada perjalanan sejarah negara kita. Di pantai inilah tentera Jepun mendarat di Tanah Melayu buat kali pertamanya pada 7 Disember 1941 ketika Perang Dunia ke 2.

Pendaratan di Tanah Melayu sejam sebelum Pearl Habour di Hawai diletupkan oleh tentera Kamikaze Jepun. British terpana, apabila tentera Punjabi yang ditempatkan di puluhan kubu yang dibina di pantai ini tidak dapat menahan amukan tentera Jepun yang mendarat yang dikatakan berjumlah 5200 orang di bawah pimpinan Jeneral Hiroshi Takumi dari Rejimen ke-56 Division 18.

Jepun juga mendarat dengan 5 kapal pemusnah. Terdapat cerita mengatakan pegawai tentera British merantai kaki tentera India-Punjabi di kubu-kubu sekitar Pantai Sabak agar mereka tak lari dan dapat melambatkan asakan tentera Jepun bagi membolehkan orang-orang British lari ke Singapura dan terbang balik ke London.

Dari sumber risikan British memang menjangka Jepun akan naik dari Kelantan, namun British lebih menumpukan perhatian pada keselamatan Singapura sementelah status Singapura sebagai pelabuhan bebas yang menguntungkan British. Pertahanan di negeri-negeri agak ampuh dan Pantai Sabak menjadi saksi turunnya Jepun melanggar Tanah Melayu.

Sumber: come2kelantan.my

Isnin, 3 Julai 2017

Fotografi: Kuantan 30 Jun 2017



Lokasi: Kuantan, Pahang
Tarikh: 30 Jun 2017

Fotografi: Sundown in Mersing


Sundown in Mersing
Lokasi: Bandar Mersing, Johor
Tarikh: 3 Syawal 1438H (27 Jun 2017)
Masa: 7:02 petang

Khamis, 25 Mei 2017

Puisi: Sebatang Pena Menari


Sebatang Pena Menari

sebatang pena menari
di pentas kehidupan
bernama kertas seputih salji

iramanya laguan jiwa
nyanyian cinta mahupun dusta
koreografi tinta hitam dan biru
tarian aksara saling bertemu
kadang merah datang bertamu
selainnya sekadar merindu
mungkin malu
atau memang tidak dialu

sebatang pena menari
terhenti dan terbaring sepi
mati pada setitik noktah.

Sufian Mohamed Salleh
25 Mei 2017

Khamis, 27 April 2017

Puisi: Bangkit Dari Lena


BANGKIT DARI LENA

Begitu jauh perjalanan mimpi
mengelilingi pelusuk bumi
sehinggakan ketemu kembali
titik mula yang masih sepi

Kembara itu sebenarnya sia-sia
di antara bongkah tajam
dan sebatang laluan mati
di luar sedar
hari sudah cair dibakar mentari

Kejutkan sisa malam
hidup yang terlepas semalam
Katakanlah!
pada esok lusa yang menanti
tentang bangkit dari lena
bersihkan diri dan cari realiti

Sufian Mohamed Salleh
23 April 2017
Kuala Pilah, N.Sembilan

Sabtu, 18 Mac 2017

Fotografi: Satu Sudut Damai di HKL



Satu Sudut Damai di HKL
Lokasi: Hospital Kuala Lumpur
Tarikh: 18 Mac 2017

Selasa, 14 Mac 2017

Testimoni: Transit #1 – Raimi Barbarossa


Pyan atau Suffian adalah seorang penulis yang berbakat dikenal melalui penulisan beliau yang bagus dalam Nathias zine, Bangkit! Zine dan webzine beliau Ekstrim. Kerja-kerja beliau kemas dan setiap penulisan beliau bukanlah kosong melainkan ianya telah melalui kajian kes dan latarbelakang topik yang beliau bawakan. Saya meminat hasil-hasil kerjanya. 

Seperti yang diketahui, saya tidak handal dalam bidang sajak dan puisi. Namun saya menghargai personal zine karya Pyan yang penuh garapan emosi, sarat dengan pengalaman dan isi hatinya. Terdapat nukilan dan foto-foto bagi memberi lebih pengertian mengenai arah tuju zine ini. Dapatkan karya unik dari Pyan@Suffian yang terkenal dalam pergerakan muzik punk dan metal tanahair atau anda boleh juga membawa penulisan-penulisan seni beliau melalui blog: transit_seni.blogspot.com

Rebiu ini diletakkan di blog KHUSYUK KEMATIAN:

Raimi Barbarossa – 11 Mac 2017

Jumaat, 10 Februari 2017

Puisi: Rindu


RINDU

setahun sudah berlalu
dia pergi tinggalkan rindu
Abah...
rindu itu secawan kopi
kelihatan pahit sebenarnya manis

setahun sudah berlalu
tak bertemu terpisah alam
pun demikian Abah...
kata-katamu sentiasa ada
dari sekeping nota yang kau tinggalkan
di situ kita selalu bersua
masih lagi berbicara

Abah...
rindu itu umpama hujan
basah kuyup namun menyuburkan

AL-FATIHAH
Allahyarham Mohamed Salleh Sulaiman
2 Ogos 1939 – 10 Februari 2016

nukilan:
Sufian Mohamed Salleh
10 Februari 2017

Khamis, 26 Januari 2017

Puisi: Hujan Senja


HUJAN SENJA

lebatnya hujan senja
yang menyapa kala hari meronta
membasahi gersang rasa cita
dari benamnya kota kata merah jingga
runtun sang jiwa

bermandi hati di celah hujan senja
berontak kelam kepingin bersinggahan
bercanggah dan saling menyanggah
aku harus pergi
perlu terus pisahkan diri
biar sepi, biar sendiri-sendiri
kebasahan bersiram airmata nurani
minta jiwa di sanubari

hai hujan senja
bawakan angin dingin yang membelai
laungan suci yang menderu berbisik
bait-bait ayat seruan damai
aku datang bertegur sapa
selamat malam purnama
selamat bertemu bintang-bintang cinta

Sufian Mohamed Salleh
26 Januari 2017