Khamis, 30 Jun 2016

Puisi: Puaka Jahanam


PUAKA JAHANAM

diakah kuasa?
di sebalik konon jelita senyum menggula
diakah perdana?
bertopeng rupa jembalang mengurai

dia bukan sesiapa atau sesuatu
dia jahanam gila!
dia bukan tuhan bukan malaikat
mahkota duduk di jemala
takhtanya singgahsana
telunjuknya berbisa
mencipta cerita bahana dan dosa

sedikit yang alpa lupa tak tau apa
ramai yang sengsara derita luka
angkara dia si Puaka Betina
jahanam! jahanam! jahanam!

Sufian Mohamed Salleh
31 Disember 2015

Puisi: Binatang!


BINATANG!

I

Binatang!
Menerkam membaham, bercalar-balar
Gah kau di kelompok haiwan liar

Neraka apakah binatang?
Benar ditentang.. onar yang dibentang!
Nurani rentung di sebalik sinar
Rakus kau.. tersilau di kepuraan tulus
Binasanya tidak lain si jelata buta

Memang binatang..
Kuasa di tangan bukan lagi amanah
Tetapi kuasa untuk memusnah
Bermegah gagah di atas yang rebah

II

Binatang!
Hiruplah.. hirup semua darah ini
Jilat semuanya termasuk kurap dan nanah
Tanpa ada loya jijik hanyirnya
Kerana kau memang binatang
Binatang segala binatang!!

III

Bukan mengaku binatang tetapi bintang
Baru tahu mengaku sesudah ditelanjang
Kenallah kuasa kau dan siapa berkuasa?

Kebinatangan
Dijatuhkan hukum secara binatang!

Sufian Mohamed Salleh
16 Februari 2014


Nota: Satu ketika dahulu aku pernah bercita-cita untuk menyumbangkan sajak kepada PSYCHOTIC ART ZINE kendalian sahabat aku Amir Fadli namun selepas sekian lama sajak ini tidak dihantar dan terpendam begitu sahaja.

Catatan: Sesuatu Tentang Aku


SESUATU TENTANG AKU

...Aku adalah Aku dan hingga hujung nyawa Aku tetap Aku! Hanya pada-Mu ya Allah Tuhanku Yang Satu aku serahkan seluruh jiwa dan ragaku, hidup dan matiku hanyalah untuk-Mu.

Foto: Tangkuban Parahu, Bandung, Indonesia // 25 Mac 2013

Puisi: Abah


Hari ini dah seminggu abah pergi. Abah pergi takkan kembali. Abah pergi bertemu Illahi. Tiap malam aku tak dapat lelapkan mata. Tiap malam aku menitiskan airmata. Aku rindu Abah. Cukup rindu. Maafkan aku Abah kalau sepanjang hayatmu aku banyak melukakan hatimu. Malam ini aku tulis puisi buat Abah. Maaf Abah kalau bahasanya tak begitu indah. Dulu Abah guru tapi anakmu ini tak sehebatmu. Abah dengar ya...Sufian Mohamed Salleh, 17 Februari 2016, 3:23am

ABAH

Abah...
Setinggi-tinggi penghargaan buatmu Abah
Atas seluruh cinta luhur yang kau curahkan
Segala tulus perjuangan dan pengorbananmu
Yang takkan pernah terkira
Terima kasih atas semuanya Abah

Kini aku sungguh benar merinduimu
Rindu kesemua senyum bibirmu
Rindu kesemua sinar di matamu
Rindu saat-saat indah bersamamu
Rindu luasnya lautan kasih sayangmu

Abah...
Ingin rasanya aku berjumpa denganmu
Walau sekadar dalam mimpi-mimpiku
Walaupun hanya memandang wajahmu

Ya Allah...
Aku redha dengan pemergian Abah
Biarpun ku tempuhi hari mendatang kehilangannya
Aku sedar Abah milik-Mu
Dan aku terima Abah telah kembali kepada-Mu

Jagalah dia selalu Ya Tuhanku
Bahagiakan dia di sisi-Mu
Kerana dia adalah ayah terbaikku

Selamat beristirehat Abah
Aku tahu Abah bahagia di sana
Semoga kita dapat berkumpul lagi di syurga-Nya
Nantikanlah aku Abah...

Abah...
Ingin rasanya aku berjumpa denganmu
Walau sekadar dalam mimpi-mimpiku
Walaupun hanya memandang wajahmu
Merawat rindu di hati ini
AL-FATIHAH untukmu Abah..


Nota: Sajak ini aku tulis secara spontan kerana terlalu rindukan arwah ayahndaku, Allahyarham Mohamed Salleh bin Sulaiman yang kembali ke rahmatullah pada 10 Februari 2016. Aku abadikan sajak ini di facebook.com/sufianms manakala foto adalah kiriman adik-beradik dalam grup WhatsApp keluarga pada 10 April 2016.